spot_img
spot_img

2025 Ernie Zakri Bersama Andi Rianto Rilis “Perjalanan”, Angkat Kisah Hidup di Industri Musik.

Ernie Zakri Penyanyi asal Malaysia, kembali dengan sebuah karya baharu berjudul “Perjalanan”, hasil kolaborasi istimewa bersama komposer dan produser tersohor Indonesia, Andi Rianto.

Dengan lirik yang ditulis sepenuhnya oleh Ernie Zakri dan komposisi serta produksi muzik oleh Andi Rianto, “Perjalanan” menyatukan kekuatan penceritaan dan keindahan melodi dalam sebuah karya yang mendalam dan penuh penghayatan.

“Perjalanan” menyelami kisah hidup, pengalaman, dan cabaran yang dilalui kedua-dua artis ini sepanjang berada dalam industri seni. Dengan sentuhan melodi yang penuh jiwa dan lirik yang jujur, lagu ini hadir sebagai refleksi dan penghargaan terhadap perjalanan setiap insan.

Ernie Zakri

Menurut Ernie, idea menghasilkan “Perjalanan” tercetus sewaktu sesi awal kerjasama mereka. “Idea lagu ni muncul bila Andi minta saya tulis lirik sendiri, tentang apa yang saya rasa. Pada waktu itu, masing-masing teringat tentang perjalanan hidup yang penuh cerita dan dari situ kami putuskan untuk menulis lirik ini berdasarkan pengalaman sendiri,” jelas Ernie.

Bagi maestro muzik Indonesia ini, inspirasi utama komposisi “Perjalanan” datang daripada sosok Ernie sendiri. “Inspirasinya adalah Ernie Zakri. Saya rasa dia sudah melalui banyak pengalaman dan suka duka dalam industri, dan saya fikir inilah masa yang tepat untuk dia menyanyikan lagu seperti ‘Perjalanan’.”

Proses ciptaan lagu ini juga berlaku secara spontan dan sangat organik. “Everything happened spontaneously. Masa workshop, tiba-tiba saya jumpa melodi yang terasa tepat untuk jalan cerita Ernie. Kami bincang tentang konsep dan semuanya mengalir dengan sangat natural. Sangat menyenangkan.”

Ernie Zakri

Bercerita tentang proses kolaborasi dengan Andi Rianto, Ernie menjelaskan ia jauh lebih mudah dan natural daripada jangkaannya. “Pengalaman bekerja dengan Andi memang sangat mudah. Saya sangka akan ada banyak arahan, tapi sebaliknya, beliau sangat menghormati ruang kreatif saya. Dia bagi saya kebebasan untuk menulis kisah sendiri, malah dia cakap dia lebih suka mencipta melodi berdasarkan cerita saya.”

Dari segi bunyi dan konsep, Ernie menegaskan bahawa meskipun elemen muzik Andi Rianto sangat kuat, identiti Ernie tetap menjadi tunjang utama. “Walaupun lagu ini ada sentuhan Andi Rianto, penyampaian dan vibe itu tetap Ernie Zakri. Itu tak berubah.”

Harapan Ernie untuk pendengar adalah agar lagu ini menjadi ruang untuk mereka merasa dilihat dan difahami. “Saya harap semua peminat dapat merasai lagu ni. Setiap orang ada perjalanan mereka, ada susah, ada senang. Sentiasa percaya ada sinar di hujung jalan. Dan jangan lupa untuk sentiasa berbuat baik, sebab kita tak tahu apa yang orang lain sedang lalui.”

Ernie Zakri

Sebagai produser, Andi Rianto turut menekankan elemen paling penting dalam lagu ini. “Bagi saya, elemen muzik paling penting adalah vokal Ernie Zakri. Saya suka tone dia, teknik dia, tapi paling penting feeling yang dia bawa. Dia sangat penuh emosi bila menyanyi, dan itu yang saya mahu tonjolkan.”

Cabaran terbesar bagi Andi Rianto bukanlah aspek teknikal, tetapi memastikan bakat Ernie diserlahkan sepenuhnya. “Cabaran utama adalah saya mahu semua orang tahu betapa hebatnya Ernie Zakri, bukan sahaja sebagai penyanyi, tetapi juga sebagai penulis lagu. Itu yang saya mahu orang rasai melalui ‘Perjalanan’.”

Ernie turut berkongsi perancangan selepas “Perjalanan”. “Seterusnya saya akan buat fan meeting. Saya nak buat sesuatu yang berbeza, kali ini saya nak peminat dengar karya-karya saya secara lebih dekat, termasuk yang baharu.”

Selain Fan Meet, karya ini menjadi lebih istimewa apabila “Perjalanan” dipilih sebagai OST drama terbaharu TV3, Cinta Anak Lorong. Vokal Ernie yang penuh jiwa bersama susunan muzik yang bermood dramatik dijangka menjadi pelengkap utama dalam penceritaan drama tersebut. “Perjalanan” kini boleh didengarkan di semua digital platform.

GoogleNews

TINGGALKAN KOMENTAR

Silakan masukkan komentar anda!
Silakan masukkan nama Anda di sini

spot_img